Search

Bayi berbungkus kain ditinggalkan di depan rumah

July 18, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Bayi lelaki yang baru dilahirkan dan masih bernyawa ditemui ditinggalkan dalam keadaan berbungkus dengan kain di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Burung, Jalan Bakawali, di sini, awal pagi tadi.

Bayi malang itu ditemui orang awan kira-kira jam 3.06 pagi, sebelum diselamatkan dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, keadaan bayi kini dilaporkan stabil.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dengan niat untuk membuangnya secara kekal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, orang ramai diminta untuk bekerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan penemuan bayi ini dengan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Dalam pada itu, dalam kes berasingan, beliau berkata seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun ditahan di Lorong Lahad Datu Square 1 kerana disyaki menjalankan kegiatan perjudian atas talian, semalam.

“Rampasan membabitkan satu unit telefon pintar yang mengandungi aplikasi perjudian dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Sementara itu, Dzulbaharin berkata pihak polis memandang serius semua bentuk jenayah yang mengancam keselamatan masyarakat, terutamanya yang membabitkan jenayah sosial seperti penganiayaan bayi dan pelacuran.

“Pihak IPD Lahad Datu akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi demi menjamin keselamatan serta keharmonian komuniti setempat,” katanya. – Info X