LAHAD DATU: Bayaran antara RM250 hingga RM350 bagi sekali perkhidmatan. Itu harga yang dikenakan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun kepada lelaki hidung belang yang mahukan ‘layanan istimewa’.
Wanita itu turut mengaku menggunakan aplikasi MiChat sebagai platform untuk mempromosikan perkhidmatan seks sebelum menerima pelanggan di sebuah hotel sekitar bandar ini.
Bagaimanapun, aktiviti tidak bermoralnya terbongkar selepas ditahan dalam Op Noda yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dilakukan hasil risikan terhadap aktiviti pelacuran dalam talian.
“Wanita itu dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran antara RM250 hingga RM350.
“Turut dirampas sebuah telefon bimbit, beberapa keping kondom dan sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana mencari pelanggan bagi maksud persundalan.
Sementara itu, Dzulbaharin berkata pihaknya memandang serius segala bentuk jenayah sosial yang boleh mengancam kesejahteraan masyarakat.
“Polis akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah termasuk penganiayaan bayi, pelacuran dan perjudian,” katanya. – Info X