Search

Hanya motosikal, beg dan kasut ditemui di tebing

July 20, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar memancing di Sungai Umas-Umas Dumpas, Jalan Merotai-Kalabakan, di sini, semalam dengan hanya motosikal, beg dan sepasang kasut miliknya ditemui di tebing sungai berkenaan.

Mangsa dikenali sebagai Rizal Bedu, 38, dilaporkan keluar memancing kira-kira jam 2 petang semalam, namun sehingga kini masih belum pulang ke rumah.

Bimbang akan keselamatannya, ahli keluarga kemudian tampil membuat laporan polis.

Pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari mangsa yang dilaporkan hilang di Sungai Umas-Umas Dumpas, Jalan Merotai-Kalabakan, Tawau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Bombalai pada jam 2.27 petang tadi berhubung kehilangan mangsa.

“Seramai enam anggota dari BBP Tawau digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 40 kilometer dan tiba kira-kira jam 3.22 petang.

“Pasukan menjalankan operasi pencarian menggunakan kaedah ‘Surface Searching’ dalam radius 500 meter sekitar sungai berkenaan.

“Pasukan bomba hanya menemui motosikal, beg dan kasut mangsa di tebing sungai, namun mangsa masih gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi berkenaan turut disertai anggota polis dari Balai Bombalai.

“Setakat jam 5 petang tadi, mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan sebelum disambung semula esok.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X