Search

Cubaan seludup petrol, diesel dan tong gas ke negara jiran gagal

July 21, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Cubaan menyeludup keluar pelbagai barangan kawalan menggunakan sebuah bot kumpit ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan kira-kira 0.8 batu nautika dari perairan Tanjung Aru, di sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang nakhoda bersama tujuh kru warga asing berusia antara 27 hingga 50 tahun, yang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah.

“Turut berada dalam bot terbabit ialah enam penumpang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita, dipercayai warga negara jiran, berusia antara 16 hingga 41 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot itu turut menemui 250 tong biru berisi kira-kira 50,000 liter petrol, 15 tong berisi 3,000 liter diesel dan 120 tong gas pelbagai jenama.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan hampir RM830,000,” katanya.

Bot kumpit yang digunakan untuk menyeludup keluar pelbagai barangan kawalan ke negara jiran. – Pix/APMM

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1962, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

Muhamad Suhairy berkata, tangkapan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan APMM membanteras aktiviti penyeludupan serta memastikan keselamatan perairan negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-222519 atau MERS 999 bagi tindakan segera. – Info X