KOTA KINABALU: Sebanyak 58 lagi kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di lima kampung sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau.
Projek fasa dua bagi meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat DUN Darau itu adalah inisiatif berterusan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Datuk Mohamed Razali Razi.
Beliau sentiasa komited memastikan komuniti setempat terus dilindungi daripada ancaman jenayah dan kejadian tidak diingini menerusi pemasangan CCTV.
Razali ketika dihubungi berkata, pemasangan 58 unit CCTV yang dilaksanakan sepanjang Jun lalu itu membabitkan lima kampung iaitu Darau (14 unit), Rampayan (15 unit), Warisan (15 unit), Kalansanan (10 unit) dan Kampung Likas (empat unit).
Katanya, fasa seterusnya bakal menyaksikan perluasan pemasangan CCTV ke beberapa lagi kawasan strategik termasuk di Kampung Kalansanan, Bangka-Bangka, Kembirian dan sekolah yang memerlukan dalam kawasan DUN Darau.
“Kita bukan saja memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tetapi juga premis pendidikan bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru terjamin.
“Usaha ini adalah langkah proaktif kita untuk membina komuniti yang lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata, pemasangan CCTV bukan saja bertujuan mengurangkan kadar jenayah tetapi juga membantu pihak berkuasa dalam siasatan kes serta meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap persekitaran mereka.
“CCTV terbukti berkesan dalam pencegahan jenayah. Kehadiran kamera ini dapat memberikan rasa selamat kepada penduduk, sekali gus membina suasana kehidupan yang lebih tenang dan tenteram,” katanya.
Dalam masa yang sama, Razali turut mengajak penduduk kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk bekerjasama dalam penyelenggaraan CCTV serta bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa.
“Pembangunan dan keselamatan bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi juga memerlukan penglibatan aktif rakyat. Jika semua pihak bekerjasama, saya yakin Darau boleh menjadi contoh kawasan yang progresif dan selamat di Sabah,” katanya.
Pemasangan CCTV di sekitar DUN Darau dilaksanakan pemimpin di peringkat kampung bersama ahli Gagasan Rakyat yang diketuai Ketua Cawangan Gagasan Rakyat Kampung Cenderamata 1 Likas, Mohamad Suffian Saprin.
Pada Februari lalu, sebanyak 24 CCTV dipasang menerusi projek fasa 1 di kawasan ‘hotspot’ di Likas bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu. – Info X