KOTA KINABALU: Seorang wanita dipenjara lapan bulan selepas mengaku bersalah sengaja membuang bayi yang baru dilahirkan di sebuah bilik homestay, di sini, pada 2023.
Tertuduh, Armaya Matjani, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pada Isnin.
Armaya didakwa melakukan perbuatan itu bagi menyembunyikan kelahiran bayi yang dipercayai anak luar nikah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita berasal dari Kampung Rampayan Manggatal itu didakwa membuang bayi di sebuah homestay di Jalan Kepayan antara 1 hingga 2 November 2023.
Mengikut keterangan kes, kejadian itu terbongkar apabila pekerja homestay terbabit ternampak kesan darah di bahagian belakang tandas salah sebuah bilik yang ditempah secara dalam talian.
Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan mayat bayi lelaki lengkap dengan tali pusat yang sudah meninggal dunia.

Siasatan awal polis mendapati tertuduh mendaftar masuk ke bilik itu seorang diri pada 1 November dan keluar pada 2 November dalam keadaan lemah.
Keadaan bilik homestay ketika itu didapati berlumuran darah dan disyaki berlaku kelahiran bayi.
Selepas siasatan Unit Forensik Kontinjen Sabah, mayat bayi kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.
Menurut Pakar Perubatan Forensik, hasil bedah siasat mengesahkan bayi itu meninggal dunia pada 5.28 petang, dipercayai sejurus selepas dilahirkan.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayi secara rahsia.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dipenjara enam bulan dan denda RM2,000, namun tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Berikutan itu tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama lapan bulan bermula 21 Julai 2025 selepas ditambah dua bulan kerana gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh dan Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Hatin Amera Mohd Khir. – Info X