KOTA KINABALU: Permainan kad dagangan atau Trading Card Game (TCG) disifatkan sebagai satu cara berkesan membawa generasi muda tampil bersosial secara sihat dan aktif.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan, berkata atas sebab itu pihaknya tampil menyokong program edisi kedua pertandingan TCG, The TCG Event II yang diadakan di 1Borneo, di sini, Ahad lalu.
Acara itu mencatat penyertaan yang memberangsangkan dengan kehadiran lebih 1,000 peserta dari pelbagai komuniti TCG di seluruh Sabah.
“Saya ucapkan tahniah kepada penganjur kerana sambutan tahun ini amat menggalakkan. Saya difahamkan penyertaan semakin bertambah, termasuk permainan-permainan baharu yang diperkenalkan,” katanya.
Abqaree berkata, program seperti itu wajar diberi sokongan kerana ia bukan sekadar hobi, malah dapat membina kemahiran sosial dan pemikiran strategik dalam kalangan belia.
“Generasi Z dan Alpha sekarang ini semakin kurang berinteraksi secara fizikal tetapi menerusi acara seperti ini, mereka keluar dari rumah, berjumpa rakan-rakan sebenar dan bersosial secara sihat. Ia dua hala dan penuh nilai pembangunan diri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus menyokong usaha komuniti anak muda yang menganjurkan program seperti itu, malah mencadangkan agar satu ekosistem lebih tersusun diwujudkan untuk mengangkat penggiat TCG ke peringkat lebih tinggi.
“Anak-anak muda kita perlu diberi ruang, peluang dan platform. Jika diberi bimbingan dan sokongan, saya percaya mereka mampu diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Chang Chee Ken berkata, penganjuran kali kedua itu mendapat sambutan positif peserta yang semakin bertambah berbanding tahun lalu.
“Penyertaan ramai hingga mencecah 1,000 orang sepanjang tempoh dua hari dan tahun lalu kita hanya ada lapan permainan kad, lima kedai permainan kad, tapi tahun ini kita ada enam kedai permainan kad dan kita ada 12 permainan kad,” katanya.
Peserta Pameran, Ericson Lotidis pula menjelaskan program itu membantu meningkatkan jualan TCG kepada peserta pameran.
“Saya nampak banyak potensi terutamanya remaja yang berminat untuk bermain dan juga yang sudah bermain. Saya rasa TCG ini berpotensi untuk diangkat pada masa akan datang,” katanya.
Katanya, dengan adanya aktiviti itu, premis berkaitan hobi seperti R916 Hobby & Foods yang diusahakannya di Tingkat 1, Megalong Penampang, menjadi tumpuan belia sekitar kota kinabalu bagi bermain TCG.
Antara TCG yang terdapat di premisnya ialah Magic The Gathering, Cookies Run Braverse dan Lorcana. – Info X