KOTA KINABALU: Warga negara dewasa berumur 18 tahun ke atas akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan.
Mengumumkan Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bantuan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025.
Katanya, bantuan itu bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400.
“Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion,” katanya ketika mengumumkan Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia di Putrajaya pada Rabu.
Berikutan itu, katanya jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025.
Jelasnya, bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa adalah yang pertama dalam sejarah negara ini.
“Mungkin ada dalam kalangan kita yang punyai kemampuan dan tidak memerlukan bantuan ini.
“Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun hadapan,” katanya.
Bantuan itu adalah antara tiga langkah segera bagi meredakan kos sara hidup.
Inisiatif itu, katanya sejajar situasi kos sara hidup yang kekal sebagai tantangan yang mesti ditangani dengan bijaksana dan segera.
“Diakui bahawa meskipun kadar inflasi keseluruhan Jun 2025 adalah pada 1.1 peratus — iaitu terendah dalam tempoh 52 bulan, namun kenaikan harga makan minum terus melebihi purata inflasi.
“Justeru, dengan penuh rasa tanggungjawab, saya mengumumkan beberapa ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup serta sebagai penghargaan dan meraikan rakyat,” katanya. – Info X