SEMPORNA: Hanya kerana tidak puas hati kakinya dihempap tong gas, seorang jurulatih selam skuba naik angin dan memukul serta mengugut rakannya sendiri dalam kejadian di daerah ini, semalam.
Suspek berusia 38 tahun dipercayai berang selepas kaki kanannya cedera terkena tong gas milik mangsa ketika mereka dalam perjalanan ke perairan Pulau Timba-Timba untuk aktiviti selam skuba.
Akibat kejadian itu, mangsa yang juga lelaki warga asing berusia 34 tahun mengalami kecederaan dan tampil membuat laporan polis kira-kira jam 10.46 pagi, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim berkata, kejadian berpunca daripada insiden Selasa lalu, kira-kira jam 9 pagi ketika kedua-duanya berada dalam bot menuju ke lokasi menyelam.

“Ketika itu, tong gas milik mangsa tumbang lalu menghempap kaki suspek. Mereka kemudiannya bertengkar di atas bot.
“Keesokan harinya, suspek mendapatkan rawatan di Hospital Tawau sebelum kembali ke syarikat pelancongan tempat mereka bekerja dan bertemu mangsa untuk menuntut ganti rugi.
“Namun pertemuan itu bertukar menjadi pertengkaran sebelum suspek bertindak memukul dan mengugut mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jaafar berkata, kejadian itu turut dirakam dan tular di media sosial dan suspek ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Nurfazlina Abdullah di talian 019-8011009 atau IPD Semporna di talian 089-782020.
“Maklumat juga boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X