Search

Lelaki warga asing rakam video wanita dalam bilik sewa ditahan

July 25, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan biadab seorang lelaki warga asing yang dipercayai merakam video seorang wanita di bilik sewanya di Kampung Merotai Besar, di sini membawa padah apabila dia ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, Rabu lalu mangsa ternampak satu tangan sambil memegang telefon dari sebelah biliknya dan mengesyaki sedang merakam dirinya.

Mangsa kemudian menjerit meminta tolong daripada jiran sebelum tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai digerakkan ke lokasi dan berjaya mengesan suspek di sekitar Pekan Merotai Besar.

“Ketika tangkapan, suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas selepas berlaku sedikit pergelutan.

“Suspek berusia 26 tahun itu adalah warga asing yang tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Polis turut merampas satu telefon bimbit yang disyaki digunakan ketika kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X