SANDAKAN: Taktik menjadikan rumah sebagai stor simpanan rokok seludup terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu rumah berkenaan di kawasan Batu 11, di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 7.20 malam itu, PPM Sandakan dan Unit Gempur Marin (UNGERIN) merampas 332,800 batang rokok pelbagai jenama dipercayai untuk pasaran gelap, dengan nilai anggaran RM403,200.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, dalam serbuan itu juga, turut ditahan tiga lelaki warga asing berusia antara 31 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dengan aktiviti penyeludupan berkenaan.
“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, di Kota Kinabatangan, beliau berkata satu serbuan dijalankan hasil daripada maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan minyak subsidi.

Katanya, pasukan UNGERIN merampas dua lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama 3,000 liter minyak diesel.
“Tiga warga asing ditahan bagi membantu siasatan kerana gagal kemukakan sebarang dokumen daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah RM363,850. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63. – Info X