Search

Saman fitnah terhadap penyebar laporan tidak berasas isu permohonan lesen cari gali

July 25, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) memfailkan saman fitnah terhadap portal MalaysiaNow dan pihak lain yang terbabit dalam penyebaran laporan berita dan video berhubung dakwaan pengeluaran lesen mencari gali (PL) kepada syarikat Bumi Suria Sdn Bhd.

Menerusi satu kenyataan, SMM berkata laporan berita yang disiarkan portal itu mengandungi pelbagai dakwaan yang tidak berasas, bersifat fitnah dan direka untuk mengelirukan pembaca.

Katanya, tindakan itu jelas menunjukkan bahawa penerbitan berkenaan bersifat berat sebelah, tidak adil dan menimbulkan persepsi bahawa ia adalah satu usaha yang dirancang untuk menjejaskan reputasi dan nama baik SMM termasuk barisan pengarah dan pegawainya.

Berikutan itu, SMM menegaskan beberapa perkara berhubung kedudukannya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan disebabkan laporan tidak berasas yang dikaitkan dengannya sebelum ini.

Pertama, katanya SMM tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen mencari gali atau PL kerana ia adalah bidang kuasa Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah seperti termaktub dalam Ordinan Perlombongan Sabah 1960.

“Sehubungan itu, seperti yang telah disahkan oleh Pengarah JTU dalam kenyataan media beliau bertarikh 24 Julai 2025, tiada sebarang lesen mencari gali atau apa-apa lesen berkaitan mineral pernah dikeluarkan oleh JTU kepada Bumi Suria Sdn Bhd,” katanya.

Katanya, SMM dilantik oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai ejen pengurusan yang bertanggungjawab dalam menyelia, menyelaras dan melaksanakan Pemeriksaan Usaha Wajar (Due Diligence) teknikal serta kewangan berkaitan permohonan lesen mencari gali di Sabah.

Jelasnya, SMM bertanggungjawab melaksanakan pemantauan dan pengawasan segala peraturan dan polisi yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dalam industri perlombongan di Sabah.

“Dalam hal permohonan lesen, peranan SMM adalah terhad kepada mengeluarkan Surat Kebenaran Bersyarat untuk Memohon lesen mencari gali selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah diadakan.

“Surat ini tidak bermaksud pemberian atau kelulusan sebarang lesen. Pemohon yang berminat perlu mengemukakan dokumen lengkap dan menjalani proses semakan wajar (due diligence) oleh SMM sebelum agensi kerajaan berkaitan menjalankan semakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, kenyataan berkenaan menjelaskan bahawa kelulusan bersyarat Bumi Suria Sdn Bhd untuk memohon sudah dibatalkan selepas gagal memgemukakan dokumen yang diperlukan untuk disemak dalam tempoh ditetapkan.

“Ahli Lembaga Pengarah SMM telah mempertimbangkan permohonan Bumi Suria Sdn Bhd dan memberikan kebenaran bersyarat untuk memohon lesen mencari gali bagi kawasan tertentu.

“Walau bagaimanapun, syarikat tersebut gagal mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk disemak dalam tempoh yang ditetapkan.

“Sehubungan itu, pada 24 Mac 2025, SMM telah mengeluarkan Surat Pembatalan Kebenaran Memohon Lanjut lesen mencari gali kepada Bumi Suria Sdn Bhd.

“Surat tersebut menyatakan bahawa tempoh kelulusan untuk membuat permohonan lanjut telah tamat dan syarikat berkenaan tidak mengemukakan permohonan rasmi kepada SMM dalam tempoh yang ditetapkan.

“Oleh itu, kelulusan bersyarat untuk membuat permohonan lanjut tersebut terbatal secara serta-merta. Fakta ini telah diketepikan sepenuhnya oleh MalaysiaNow dalam laporan mereka,” katanya.

SMM turut menyatakan kekesalannya terhadap tindakan MalaysiaNow menerbitkan rakaman audio yang dikaitkan dengan mesyuarat Lembaga SMM pada Mei 2024, namun suara dalam rakaman itu bukan milik Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim.

“Walaupun begitu, portal tersebut menggunakan imej dan nama beliau dalam konteks suara audio berkenaan, yang menimbulkan kekeliruan dan tanggapan tidak tepat terhadap penglibatan beliau dalam isu yang dibangkitkan.

“Kegagalan MalaysiaNow mengesahkan kesahihan maklumat dengan SMM atau Natasha sebelum penerbitan merupakan pelanggaran serius terhadap etika kewartawanan, sekali gus mencetuskan kekeliruan dan tanggapan negatif terhadap SMM serta kepimpinannya.

“Sehubungan itu, SMM mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengulangi atau merujuk kepada laporan MalaysiaNow yang bersifat palsu, mengelirukan dan berunsur fitnah.

“SMM akan teruskan dengan tindakan saman fitnah terhadap MalaysiaNow dan sejurusnya pihak-pihak terlibat,” katanya. – Info X