Search

Taktik guna bot nelayan seludup diesel, petrol tumpas

July 26, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Cubaan sindiket menyeludup keluar minyak diesel dan petrol menggunakan bot nelayan gagal apabila dikesan Pasukan Polis Marin (PPM), dalam operasi awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 1.10 pagi di perairan Tanjung Papat itu, pasukan serbuan menahan sebuah bot nelayan yang bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum menjalankan pemeriksaan menyeluruh.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemui 32,800 liter minyak diesel dan petrol disyaki untuk diseludup ke luar negara.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM1,021,240.

“Lima individu termasuk empat warga asing berusia 26 hingga 35 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lima ditahan selepas disyaki cuba menyeludup keluar minyak petrol dan diesel di perairan Sandakan. – Pix/PPM

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan serta risikan khususnya di kawasan ‘hotspot’ penyeludupan bagi memastikan aktiviti haram itu dapat dibanteras secara menyeluruh.

“PPM mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan supaya tindakan segera dapat diambil demi keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya. – Info X