PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan disyaki tokan dadah dicekup dalam serbuan menerusi operasi khas di daerah ini, semalam.
Suspek berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira jam 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui tujuh paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu).
“Dadah syabu berkenaan dianggarkan seberat 70.32 gram dengan nilai pasaran lebih kurang RM10,500.
“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya.
Sammy turut mengingatkan masyarakat agar tidak terjebak dengan najis dadah serta menggesa supaya menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang aktiviti jenayah atau pengedaran dadah. – Info X