TAWAU: Tiga individu termasuk seorang wanita warga asing ditahan dalam dua serbuan berasingan berkaitan penyalahgunaan dan pemilikan dadah di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 4.10 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Menurutnya, seorang wanita warga asing berusia 45 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan di sebuah pondok ditahan selepas pemeriksaan menemukan satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih dipercayai syabu seberat 0.17 gram di atas lantai pondok berkenaan.
“Hasil ujian air kencing mendapati wanita itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, selain tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, dalam serbuan kedua kira-kira jam 7.05 pagi di kawasan sama, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 35 dan 39 tahun turut diberkas di sebuah pondok berasingan.
Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 20.43 gram yang disembunyikan di sebalik dinding pondok, dengan anggaran nilai pasaran sekitar RM1,700.
“Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek turut mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah berkenaan dan akan meneruskan risikan serta operasi bagi membanteras kegiatan itu hingga ke akar umbi.
“Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah bagi membantu menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat setempat.
“Penyalahgunaan dadah bukan saja merosakkan masa depan individu, malah turut memusnahkan institusi keluarga,” katanya. – Info X