KOTA KINABALU: Kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sudah dipersetujui kepemimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengerusi GRS itu berkata, formula kerjasama di antara kedua-dua gabungan juga sudah dibuat tetapi belum dimuktamadkan.
“Kita teruskan kerjasama GRS dan PH yang ada pada hari ini dan ia sudah dibincang dengan parti komponen GRS.
“Hanya ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan,” katanya ditemui selepas menyampaikan dasar Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Beliau diminta mengulas ucapan dasarnya mengenai mengekalkan kerjasama GRS-PH yang ada dalam kerajaan pimpinannya sekarang.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, mengalu-alukan kerjasama dengan GRS sejajar kedudukan GRS-PH sekarang.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana mengekalkan semangat kerjasama di antara GRS dan PH.
“Kita mengalu-alukan kerjasama seperti ini dan saya rasa ia adalah berita baik bagi rakyat Sabah,” katanya ditemui pemberita di SICC, di sini.
Timbalan Pengerusi PH Sabah yqng juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu adalah antara pemimpin PH Sabah yang turut menghadiri Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat.
Mustapha berkata, perbincangan dengan GRS selepas ini tertumpu kepada agihan kerusi dengan jumlah yang disasar antara 23 hingga 25 kerusi. – Info X