Search

Aktiviti sabung ayam baka Filipina tumpas lagi, rampasan RM4.6 juta di Papar

July 28, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi berjaya melumpuhkan kegiatan perjudian membabitkan ayam sabung baka Filipina, menerusi serbuan di Kampung Kambizaan, Jalan Kayau Kambizaan, di sini, pada 25 Julai lalu.

Serbuan bermula jam 10.30 pagi itu dijalankan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) hasil risikan Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bukit Aman.

Turut terbabit dalam operasi berkenaan ialah Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kota Kinabalu serta Majlis Daerah Papar.

Pengarah JKDNKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, tiga lelaki berusia antara 38 hingga 59 tahun ditahan dalam operasi itu, membabitkan seorang warga tempatan, seorang warga Indonesia serta seorang warga Filipina.

“Pasukan serbuan turut merampas 936 ekor ayam sabung hidup dipercayai baka Filipina, 30 sangkar besi fleksibel, 107 unit besi tagging ayam dari Filipina, satu kotak serta dua botol mengandungi pelbagai jenis vitamin.

“Turut dirampas ialah satu beg kertas mengandungi picagari jenama Terumo, satu kotak jarum suntikan Agani Needle (100 unit), satu beg plastik mengandungi 16 unit jarum Terumo serta satu beg insulin Terumo U-100,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan dalam operasi ini dianggarkan berjumlah RM4,684,825.20.

“Siasatan awal mendapati ayam sabung itu dibawa masuk tanpa lesen sah dan melanggar Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 kerana mengimport haiwan tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Operasi itu bagi mengekang aktiviti pemeliharaan ayam sabung dari negara jiran tanpa lesen yang sah serta membanteras kegiatan perjudian sabung ayam di sekitar negeri ini,” katanya.

Katanya lagi, PDRM menasihatkan masyarakat supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Terdahulu, pada 18 Julai lalu, PDRM turut menyerbu dua lokasi penyimpanan ayam sabung di Tawau dengan nilai rampasan melebihi RM3.28 juta membabitkan baka ayam sabung Filipina yang dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian haram.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Julai 2025, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 179 serbuan di seluruh negara serta menahan seramai 314 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan.

“Ia termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan barangan buangan elektronik (e-waste).

“Jumlah keseluruhan rampasan direkodkan setakat ini mencecah RM550.9 juta. PDRM memberi jaminan akan terus mempergiatkan risikan dan operasi secara berfokus demi keselamatan serta ketenteraman awam.

“Orang awam turut digalakkan menyalurkan maklumat kepada PDRM bagi membantu membanteras jenayah ini sepenuhnya,” katanya. – Info X