KOTA KINABALU: Sebanyak 16,376 saman dikeluarkan Polis Sabah membabitkan pelbagai kesalahan trafik sepanjang 10 hari Op Selamat 18 dilaksanakan bermula 28 April sehingga 8 Mei lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, jumlah berkenaan menunjukkan penurunan berbanding Ops Selamat 15 yang mencatatkan sebanyak 16,969 saman dikeluarkan.
“Kes kemalangan pula menunjukkan peningkatan tujuh peratus iaitu sebanyak 37 kes sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan 509 kes berbanding 472 sebelum ini.
“Statistik bagi kemalangan maut pula menunjukkan penurunan sebanyak lapan kes berbanding Op Selamat sebelum ini.
“Dalam pada itu, sebanyak 242 operasi sudah dilaksanakan sepanjang Op Selamat 18 berbanding hanya 221 operasi pada Op Selamat 15, ” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Idris berkata, pihaknya merekodkan sebanyak RM65,300 kompaun sudah dijelaskan manakala jumlah tangkapan pula membabitkan 30 kes Akta Pengangkutan Jalan, dua Akta Kanun Keseksaan dan satu kes Akta Pendaftaran Negara.
“Walaupun Op Selamat 18 sudah berakhir, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah akan terus mengambil pendekatan maksima berkaitan keselamatan lalu lintas.
“Tujuan utama Op Selamat ini adalah bagi membudayakan pematuhan undang-undang dan peraturan jalan raya serta menangani kesesakan lalu lintas, ” katanya. – Info X