Search

Ibu Zara ada rakaman perbualan telefon menceritakan ugutan pelajar senior

August 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni.”

Itu antara ugutan didakwa diterima Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan Kinarut di Papar.

Ugutan itu didedahkan pasukan peguam ibu Zara berdasarkan rakaman perbualan dua beranak itu yang mana mangsa menceritakan apa yang dilakukan pelajar senior terhadapnya.

“Pada 30 Julai 2025, anak guam kami telah memfailkan satu laporan polis tambahan di Balai Polis Sipitang memohon agar pihak polis menyiasat kes kematian Zara secara teliti.

“Ini kerana beliau mempunyai rakaman perbualan telefon dengan Zara yang mana Zara memaklumkan bahawa terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu dan, atau membulinya.

“Antaranya ialah Kak M yang pernah mengugut Zara dengan berkata ‘kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni’,” kata peguam ibu Zara dalam satu kenyataan, di sini, pada Jumaat.

Ibu Zara, Noraidah Lamat, melantik dua peguam, iaitu Hamid Ismail dan Shahlan Jufri untuk mengendalikan kes kematian anaknya.

Dalam kenyataan itu, peguam ibu mangsa menyatakan kematian Zara adalah satu tragedi yang berlaku di dalam kawasan asrama sekolah.

“Anak guam kami percaya bahawa Zara tidak membunuh diri. Sebaliknya, dia percaya wujud unsur-unsur jenayah yang menyebabkan kematian Zara.

“Atas dasar ini, anak guam kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

“Namun, sejak 17 Julai 2025 sehinggalah 27 Julai 2025, anak guam kami tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak polis tentang perkembangan siasatan.

“Pihak polis juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang siasatan mereka kepada media massa dalam tempoh tersebut.

“Kesunyian inilah yang merisaukan anak guam kami. Kesunyian ini bagi anak guam kami bagaikan satu indikasi bahawa kematian Zara tidak disiasat oleh pihak polis,” katanya.

Peguam itu menyebut hanya pada 28 Julai 2025, Pesuruhjaya Polis Sabah mengeluarkan satu kenyataan ringkas bahawa siasatan sedang dijalankan.

Katanya, ia kemudian disusuli satu sidang media oleh Pesuruhjaya Polis Sabah pada 31 Julai 2025 yang memaklumkan bahawa 60 orang telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Sehari sebelum itu, katanya iaitu pada 30 Julai 2025, anak guam mereka memfailkan satu laporan polis tambahan di Balai Polis Sipitang memohon agar pihak polis menyiasat kes kematian Zara secara teliti. – Info X