Search

IPD Kudat ronda-ronda di Kampung Korina

August 6, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Penduduk Kampung Korina, Sikuati, di sini semalam menerima kunjungan istimewa apabila kawasan mereka menjadi lokasi Program Ronda-Ronda Kampung Siri 3/2025 yang dilaksanakan secara bermotosikal oleh pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat.

Program berkonsep turun padang itu bertujuan mendekati masyarakat, mengenal pasti isu keselamatan setempat serta membina hubungan lebih mesra antara pihak berkuasa dan komuniti luar bandar.

Ia dimulakan dengan lawatan ke Pondok Polis Sikuati sebelum diteruskan dengan rondaan sekitar kawasan Kilang Kibing dan kampung Korina yang dikenal pasti sebagai kawasan memerlukan perhatian khusus.

Menariknya, dalam program ini, Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim sendiri menyertai rondaan dan mengambil peluang berhenti di beberapa lokasi untuk bertemu penduduk serta mendengar keluhan mereka secara langsung.

“Bukan sekadar rondaan rutin, ini peluang untuk kami duduk semeja, dengar sendiri apa yang penduduk lalui setiap hari,” katanya ketika sesi ramah mesra di pekarangan Masjid Imam Hj Duasan.

Program turut disusun dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah bersama penduduk, yang kemudian disusuli sesi santai di mana pelbagai isu keselamatan dibangkitkan termasuk gejala sosial, penyalahgunaan dadah, pencahayaan jalan dan kehadiran motosikal tanpa lesen.

Mohd Haris turut memberi maklum balas secara terus serta menegaskan komitmen PDRM dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit melalui kolaborasi erat dengan penduduk.

Dalam masa sama, risalah berkaitan pencegahan jenayah, keselamatan jalan raya, jenayah komersial dan narkotik turut diedarkan, termasuk promosi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Menurutnya, pendekatan mendekati masyarakat luar bandar secara langsung ini lebih berkesan kerana ia membina kepercayaan, memperkuat kerjasama dan memberi ruang kepada masyarakat menyuarakan pandangan mereka.

“Program seperti ini akan diteruskan secara berkala bagi memastikan hubungan antara polis dan rakyat sentiasa erat, demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya. – Info X