Search

Telefon bimbit milik ibu Zara dihantar ke Forensik Cheras

August 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, petang ini menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kematian anaknya yang dikaitkan dengan dakwaan buli di Papar, pada 16 Julai lalu.

Beliau hadir ke Balai Polis Karamunsing kira-kira jam 3.30 petang, ditemani peguam keluarga dan wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Peguam yang mewakili Ibu Zara, Hamid Ismail berkata, telefon bimbit berkenaan dipercayai mengandungi rakaman audio perbualan antara ibu dan arwah yang dirakam sebelum kejadian, yang boleh menjadi bahan penting dalam siasatan.

“Telefon itu mengandungi rakaman-rakaman suara antara ibu dan Allahyarhamah yang mungkin boleh memberi petunjuk berkenaan keadaan emosi atau tekanan yang dihadapi arwah ketika itu.

“Ia akan dihantar ke Makmal Forensik Cheras, Selangor, untuk dianalisis,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Balai Polis Karamunsing, di sini, petang tadi.

Hamid berkata, penyerahan telefon bimbit itu dibuat secara sukarela sebagai sebahagian daripada komitmen keluarga untuk membantu melengkapkan siasatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis yang menurutnya kini menunjukkan kerjasama dan respons yang lebih aktif terhadap kes berkenaan.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan dan sama ada kes berkenaan kini diambil alih oleh Bukit Aman, beliau berkata mereka belum menerima pengesahan rasmi berkaitan perkara itu.

Ibu Zara bersama pasukan peguam dam wakil NGO hadir ke Balai Polis Karamunsing bagi menyerahkan telefon bimbit miliknya.

“Yang kami tahu Jabatan Peguam Negara (AGC) telah serah kembali kepada polis sama ada polis Bukit Aman atau polis di sini, saya tidak tahu,” katanya.

Turut ditanya berhubung dakwaan permohonan penggalian semula kubur serta prosedur bedah siasat, beliau berkata wakil keluarga menjelaskan bahawa tiada proses bedah siasat pada awalnya.

“Isunya bukan tandatangan atau penolakan, tapi memang langsung tiada bedah siasat dilakukan.

“Itulah sebab kami mohon proses penggalian semula kubur untuk menentukan punca sebenar kematian,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara menyerahkan semula laporan penuh siasatan awal kes kematian Zara kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan siasatan.

Pengembalian laporan itu berserta arahan berhubung beberapa perkara untuk dilengkapkan adalah antara empat perkara yang dipohon peguam keluarga Zara dalam surat bertarikh 5 Ogos 2025 kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Tiga lagi perkara yang diminta ialah memohon agar penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, penggalian semula kubur Zara agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian dan meminta satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara.

Pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar itu ditemui di bawah bangunan asrama dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan berkenaan pada 16 Julai lalu, sebelum dilaporkan meninggal dunia sehari kemudian.

Insiden itu turut dikaitkan dengan kemungkinan berlaku unsur buli terhadap arwah Zara dan ia antara perkara yang disiasat pihak polis seperti dinyatakan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, sebelum ini. – Info X