Search

Ibu Zara sudah beri keterangan berkaitan kes kematian anaknya

August 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, yang dikaitkan dengan dakwaan insiden buli di sebuah sekolah di Papar pada 16 Julai lalu, telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, semalam, bagi membantu siasatan kes kematian anaknya.

Proses memberi keterangan berlangsung selama lebih empat jam dan Noraidah Lamat, memberi kerjasama penuh sepanjang proses itu dijalankan oleh pegawai penyiasat.

Peguam mewakili keluarga ibu Zara, Hamid Ismail berkata, walaupun proses itu memakan masa lama, pihak polis memberikan ruang kepada ibu Zara untuk berehat selepas selesai diambil keterangan sebelum beliau hadir ke Balai Polis Karamunsing ini.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan beliau memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Ini merupakan salah satu proses penting dalam usaha melengkapkan siasatan semula kes ini,” katanya ketika ditemui media di luar perkarangan Balai Polis Karamunsing, di sini, petang ini.

Hamid Ismail.

Hamid menambah, siasatan kini diteruskan selepas kertas siasatan dikembalikan oleh Jabatan Peguam Negara kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Hamid turut menggesa orang ramai menghentikan penyebaran spekulasi liar dan teori tidak berasas di media sosial yang hanya memburukkan keadaan.

“Noraidah kini dalam keadaan sangat tertekan. Sebagai ibu yang kehilangan anak, dia perlukan ruang, doa dan sokongan, bukan serangan atau tekanan emosi tambahan,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa keluarga bersedia bekerjasama sepenuhnya jika diminta memberikan bukti lain oleh pihak berkuasa.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara menyerahkan semula laporan penuh siasatan awal kes kematian Zara kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan siasatan.

Pengembalian laporan itu berserta arahan berhubung beberapa perkara untuk dilengkapkan adalah antara empat perkara yang dipohon peguam keluarga Zara dalam surat bertarikh 5 Ogos 2025 kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Tiga lagi perkara yang diminta ialah memohon agar penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, penggalian semula kubur Zara agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian dan meminta satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara.

Pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar itu ditemui di bawah bangunan asrama dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan berkenaan pada 16 Julai lalu, sebelum dilaporkan meninggal dunia sehari kemudian.

Insiden itu turut dikaitkan dengan kemungkinan berlaku unsur buli terhadap arwah Zara dan ia antara perkara yang disiasat pihak polis seperti dinyatakan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, sebelum ini. – Info X