Search

PRN17: PBK cuba nasib di Sabah

August 8, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Selepas gagal memenangi sebarang kerusi di Sarawak, Parti Bumi Kenyalang (PBK) kini melebarkan sayap ke Sabah dan menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Bagaimanapun, presidennya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, Sarawak, Voon Lee Shan tidak menyatakan jumlah kerusi yang ingin ditandingi parti itu.

Beliau berkata, pihaknya terbuka menerima mana-mana individu yang berminat bertanding atas tiket parti itu di mana-mana 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika memenuhi kehendak perjuangannya.

“Kita serahkan kepada rakyat Sabah berapa kerusi yang mereka mahu, kita jemput sesiapa yang mahu lawan dan menjadi calon. Sekarang belum ada tapi kita akan ada calon nanti.

“Sebenarnya ramai yang mahu menjadi calon, tapi kita tidak memilih dengan mudah kerana kita perlu pastikan sama ada mereka betul-betul berminat terhadap perjuangan parti atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan PBK Cawangan Sabah, di Bundusan, dekat sini, pada Jumaat.

Katanya, keputusan untuk mengembangkan sayap ke Sabah dan bertanding pada PRN17 adalah berdasarkan permintaan rakyat Sabah sendiri yang mahu parti itu datang ke negeri ini.

Jelasnya, beliau sudah lama menerima permintaan itu, tidak dapat merealisasikannya sebelum ini berikutan kedudukan PBK yang ditubuhkan pada 2013 belum teratur.

“Orang Sabah yang minta kepada saya supaya datang sini, tapi sebelum ini tidak teratur dan sekarang apabila sudah teratur barulah kita datang. Ramai yang mahu kita datang, sama ada orang politik atau aktivis,” katanya.

Beliau mengingatkan perjuangan parti itu memerlukan pemimpin yang menerima pendekatan bersifat nasionalis bagi mendapatkan kebebasan untuk Sabah dan Sarawak, bukan mereka yang oportunis.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan PBK, Lee Shan berkata walaupun ditubuhkan di Sarawak dan menggunakan burung kenyalang sebagai lambang dan nama parti, ia bukan hanya merujuk kepada Sarawak.

Sebaliknya, beliau berkata, parti itu merujuk kepada Borneo dengan mengambil kira burung kenyalang juga ada di Sabah, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

Pada majlis itu, Lee Shan menyerahkan watikah pelantikan Pengerusi PBK Sabah kepada Datin Soh Kee Suat, manakala bekas ADUN Dilantik Sabah, Datuk Ronnie Loh sebagai timbalannya. – Info X