KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik kenyataan terkini Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengeluarkan arahan lanjut berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata, kes berkenaan bukan sahaja menyentuh perasaan rakyat di Sabah, malah turut mendapat perhatian meluas di seluruh negara termasuk dari negara jiran.
“Ini jelas menunjukkan bahawa keadilan untuk adik Zara adalah tuntutan bersama yang merentasi sempadan dan perbezaan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Hajiji turut menzahirkan keyakinan bahawa pihak berkuasa akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh bagi menegakkan keadilan buat Zara dan keluarganya.
“Saya menyeru semua pihak supaya bertenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi serta memberi ruang dan kepercayaan kepada proses undang-undang yang sedang berjalan,” katanya.
Malam tadi, AGC mengarahkan agar kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah.
Jabatan itu berkata, ia adalah antara beberapa arahan yang disertakan setelah laporan penuh siasatan awal kes kematian Zara dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Info X