KOTA KINABALU: Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Warisan menjadi teras utama usaha memperkukuh keselamatan komuniti melalui program Ronda Cegah Jenayah yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Inisiatif ini menekankan kepentingan penglibatan aktif penduduk dalam menjaga keamanan kawasan kediaman, sekali gus membina kerjasama berterusan antara masyarakat dan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, SRS dan KRT berperanan sebagai mata, telinga dan suara komuniti yang membantu memantau, melapor serta memberi nasihat keselamatan secara berterusan.
“Antara fungsi mereka termasuk menjalankan rondaan sukarela di kawasan berisiko, menggalakkan budaya kejiranan prihatin, memudahkan penyebaran maklumat keselamatan dan bertindak sebagai penghubung langsung antara penduduk dan pihak berkuasa.
“Walaupun tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan seperti polis, anggota SRS dibenarkan melakukan rondaan mengikut prosedur operasi standard, menyalurkan maklumat jenayah, memberi nasihat keselamatan, dan membantu semasa program komuniti,” katanya ketika berucap pada Program Ronda Cegah Jenayah Bersepadu di Kampung Warisan di sini, malam tadi.

Katanya, keselamatan di sesebuah kawasan tidak boleh disandarkan kepada polis semata-mata tetapi kejayaan mencegah jenayah bergantung kepada penglibatan aktif masyarakat setempat.
“Objektif Ronda Cegah Jenayah termasuk meningkatkan kehadiran polis secara fizikal, memberi kesedaran pencegahan jenayah, memupuk semangat kerjasama dan mewujudkan komunikasi dua hala yang berkesan.
“Saya menyeru penduduk setempat supaya tidak leka, mengunci rumah, mengelakkan meletakkan barang berharga di tempat terbuka, dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.

“Dengan semangat gotong-royong dan hubungan erat yang terjalin, saya yakin Kampung Warisan mampu menjadi contoh kawasan yang selamat, harmoni dan bebas jenayah,” katanya.
Hadir sama, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kota Kinabalu Hilman Jack Usli, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Iyda Ismail dan Pengerusi KRT Kampung Warisan Basri Inchialang serta Ketua SRS Kampung Warisan Abd Rahman Mohammad. – Info X