KOTA KINABALU: Kubur Zara Qairina Mahathir akan digali secepat mungkin bagi melengkapkan proses siasatan kes kematian pelajar itu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Memetik BH Online, Saifuddin berkata arahan Jabatan Peguam Negara pada Jumaat itu akan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Memandangkan kita baru menerima arahan, jadi pagi tadi saya sudah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara dan kita akan melakukan proses gali kubur secepat mungkin.
“Sudah tentu kita akan fokus untuk mengemaskini siasatan selain mengumpul semua bukti. Polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan.
“Kita harus berlaku adil dengan semua sama ada arwah Zara, ahli keluarganya dan pihak sekolah termasuk guru. Keutamaan kita adalah untuk melaksanakan keadilan,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ijtima’ Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan di Machang, Kelantan pada Sabtu.
Jabatan Peguam Negara pada Jumaat mengarahkan supaya kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Kenyataan jabatan itu menyebut terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
Saifuddin memberi jaminan proses siasatan itu akan dilakukan segera dan akan melaporkan perkembangan terbaru dari semasa ke semasa.
Ends