KOTA KINABALU: Proses bedah siasat terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir telah bermula, kira-kira jam 9 pagi ini.
Peguam Hamid Ismail berkata, proses itu akan diketuai oleh pakar patologi Dr Jessie Hiu.
Manakala ibu Zara, Noraidah Lamat, tiba sekitar jam 8.30 pagi.
Jenazah pelajar berusia 13 tahun itu tiba di hospital pada jam 10.30 malam tadi selepas digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang pada jam 7.31 malam.
Jenazah Zara dibawa ke Jabatan Radiologi untuk imbasan CT sebelum disimpan di Jabatan Perubatan Forensik.
Semalam, kira-kira 100 ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat hadir menyaksikan proses penggalian semula kubur Allahyarham Zara Qairina yang menunggu sejak tengah hari sehinggalah proses penggalian selesai.
Proses itu dikawal sepasukan anggota polis bagi memastikan penggalian kubur arwah berjalan lancar, manakala pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) turut hadir memantau proses penggalian semula kubur arwah.
Jenazah Allahyarham Zara sebelum ini dikebumikan pada 17 Julai lalu selepas disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, sehari sebelum itu.
Penggalian semula kubur arwah Zara dilakukan selepas mendapat perintah Majistret Zuraini Ali Musa melalui prosiding secara aplikasi Zoom yang didengar di IPD Papar tengah hari tadi.
Sebelum ini, keluarga arwah meminta kubur arwah digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan untuk melengkapkan siasatan pihak berkuasa berhubung punca kematian pelajar terbabit. – Info X