Search

Pakar Perunding Patologi Forensik dari Selangor bantu bedah siasat jenazah Zara

August 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang Pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor dipanggil membantu proses bedah siasat jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dilakukan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, pada Ahad.

Pakar terbabit, Dr Khairul Anuar Zainun akan mengendalikan proses bedah siasat bersama Pakar Patologi HQE, Dr Jessie Hiu dengan dibantu dua lagi doktor.

Peguam keluarga Allahyarham Zara, Hamid Ismail ketika ditemui berkata proses bedah siasat dimulakan pada kira-kira jam 11 pagi selepas selesai pengecaman jenazah oleh ibu arwah Zara.

“Sebelum itu, doktor juga memberi taklimat kepada keluarga Allahyarham mengenai proses bedah siasat dan prosedur dimulakan selepas ibu arwah membuat pengecaman jenazah,” katanya.

Hamid berkata, proses bedah siasat dijangka mengambil masa beberapa jam sebelum keputusannya diketahui dan dijelaskan oleh doktor kepada keluarga arwah Zara.

“Dr Jessie akan memberitahu keluarga apa yang dijumpai, kemudian selepas itu mayat akan dibawa balik semula ke Sipitang oleh pihak polis untuk tujuan penanaman semula.

“Proses bedah siasat mungkin mengambil masa empat hingga lima jam, kita tidak tahu,” katanya.

Mengulas mengenai pakar perunding dari luar yang dipanggil membantu proses bedah siasat, Hamid berkata beliau percaya ia bagi memastikan keadilan untuk arwah Zara.

“Saya percaya pihak polis memastikan semua elemen untuk keadilan kepada Zara, jadi dibawa
seorang doktor pakar dari Semenanjung untuk mengelakkan apa-apa pertuduhan yang tidak baik,” katanya.

Sementara itu, Hamid meminta orang ramai yang menunggu hasil bedah siasat ke atas arwah Zara supaya terus berdoa untuk memohon agar keadilan untuk arwah dapat ditegakkan. – Info X