KOTA KINABALU: Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang diadakan pada malam ini yang antara lain membincangkan persediaan menghadapi PRN17 yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Menerusi satu kenyataan, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerjasama dengan PH banyak membantu menstabilkan politik di Sabah.
Katanya, ia juga memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk menumpukan usaha membangunkan Sabah, termasuk menyelesaikan masalah berkaitan kemudahan asas.
“Kita akan duduk semeja dengan kepimpinan PH dalam masa terdekat bagi menentukan agihan kerusi yang akan ditandingi oleh parti masing-masing.
“GRS kekal berpendirian bahawa parti-parti tempatan hendaklah mengambil peranan utama dalam kerjasama yang akan dipersetujui,” katanya.
Beliau berkata, Majlis Tertinggi GRS tidak membincangkan atau menyentuh sebarang kerjasama dengan parti-parti lain bagi menghadapi PRN17. – Info X