KOTA KINABALU: Parti Warisan menerima 1,500 ahli baharu, termasuk figura industri pelancongan Sabah, Datuk Seri Winston Liaw.
Kemasukan beramai-ramai itu dibuat di sebuah hotel di Sepanggar, di sini, pada Ahad membabitkan bekas ahli beberapa parti, antaranya PKR, PBS dan UMNO.
Winston menyerahkan sendiri borang keahliannya kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada majlis itu.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Warisan berkata ahli baharu itu masing-masing lebih 500 bekas ahli PKR, diikuti bekas ahli PBS (420) dari Kota Kinabalu dan Sepangar, selain 40 bekas ahli GRS Kota Kinabalu dan 160 bekas ahli UMNO Kota Kinabalu.
Sebagai tambahan, katanya seramai 171 ahli baharu Warisan diterima dari Sepanggar, 200 orang dari Kota Kinabalu dan 79 orang lagi dari Penampang.
Pemimpin parti itu menyifatkan kemasukan beramai-ramai ke Warisan sebagai gambaran peningkatan sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17). – Info X