Search

Kes Zara: Permohonan inkues seawal minggu depan – JSJ Bukit Aman

August 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Permohonan inkues berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir dijangka dikemukakan kepada koroner seawal minggu depan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, berkata ketika ini pihak polis sedang melengkapkan dokumen dan maklumat berkaitan sebelum dibawa ke mahkamah.

Katanya, ia bagi memastikan permohonan itu lengkap sebelum diserahkan kepada pihak terbabit mengikut saluran undang-undang ditetapkan.

“Jika semua berjalan lancar, permohonan itu dijangka dikemukakan kepada koroner seawal minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan perkembangan siasatan kes kematian Zara di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Rabu.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan hari ini mengarahkan satu inkues diadakan bagi mengenal pasti punca kematian pelajar tingkatan satu itu.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, selain inkues, polis dari JSJ Bukit Aman juga akan meneruskan siasatan jenayah yang menjurus kepada perbuatan buli.

Beliau berkata, kedua-dua siasatan itu dilakukan secara serentak dan menyeluruh mengikut prosedur undang-undang.

“Proses inkues memberi tumpuan kepada semua bukti dan maklumat berkaitan bagi menentukan punca kematian.

“Kita sudah mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil dan segala maklumat akan dikemukakan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Siasatan jenayah pula katanya memfokuskan kepada aspek perbuatan buli.

Katanya, kesalahan buli boleh diklasifikasikan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan iaitu ‘causing a person to believe that harm will be caused’.

Hukuman bagi kesalahan itu katanya membabitkan pemenjaraan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya yang dikuatkuasakan bermula 11 Julai 2025.

Sementara itu, Kumar berkata pihak polis juga menjalankan sesi intervensi ke atas 124 pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6 yang terkesan dalam kejadian itu.

Tindakan itu, katanya dilakukan bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang, selain mengembalikan keyakinan pelajar di sekolah terbabit. – Info X