KOTA KINABALU: Sabah FC mengumumkan pelantikan Ketua Jurulatih baharu, Daniel Jean-Paul Desvaux de Marigny dari Australia bagi mengendali skuad Sang Badak pada musim ini.
Menerusi satu kenyataan, pengendali baharu itu memulakan secara rasmi tugas mengemudi Sabah FC bagi saingan Liga Malaysia 2025/2026 pada perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City (KL City) FC, di Kuala Lumpur, malam tadi.
Perlawanan yang menyaksikan Sang Badak berjaya mengikat tuan rumah dengan jaringan 1-1 bagi membawa pulang satu mata itu adalah aksi pertama Sabah dalam Liga Super pada musim ini.
Jean-Paul mempunyai pengalaman luas dalam Liga Australia bersama Western Sydney Wanderers, Newcastle Jets dan Melbourne Victory yang muncul juara liga pada musim 2014/15 dan 2017/18.
Beliau juga pernah terbabit dalam pelbagai peringkat umur pasukan kebangsaan Australia, termasuk sebagai Penolong Jurulatih kepada Brad Maloney dalam skuad kebangsaan Australia Bawah 17 tahun.
Pengendali Sabah sebelum ini, Martin Stano kembali sebagai Jurulatih Kecergasan Sabah FC, manakala Alto Linus kekal sebagai Penolong Ketua Jurulatih. – Info X