Search

Projek SMK Langkon tertangguh 15 tahun, KPM diminta turun padang

August 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin UMNO mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) turun padang melihat projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon di Kota Marudu yang didakwa tertangguh sejak 15 tahun lalu.

Ketua Bahagian UMNO Kota Marudu, Datuk Ismarah Madcasar, projek yang sepatutnya sudah lama memberi manfaat kepada rakyat itu, tidak wajar dibiarkan terus tertangguh demi kepentingan pendidikan rakyat, khususnya di Kota Marudu.

Katanya, kelewatan yang begitu lama itu menafikan hak pelajar terhadap kemudahan pendidikan yang selamat dan berkualiti.

“Saya menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia untuk segera turun padang melihat sendiri keadaan SMK Langkon. Hanya dengan kehadiran dan penilaian terus di lapangan, kementerian dapat memahami kesan sebenar kelewatan ini terhadap pelajar, guru dan komuniti setempat.

“Tindakan segera diperlukan bagi memastikan pembinaan sekolah ini disiapkan tanpa penangguhan tambahan.

“Apabila kemudahan asas pendidikan tertangguh selama lebih sedekad, ia bukan sekadar kelewatan teknikal, tapi ia adalah kegagalan memenuhi amanah kepada generasi muda dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, jika terdapat unsur ketirisan atau salah urus yang menyebabkan projek itu tergendala begitu lama, pihak berkuasa termasuk SPRM wajar menjalankan siasatan telus.

“SPRM perlu bertindak proaktif melakukan siasatan menyeluruh. Integriti dalam pengurusan dana awam adalah asas kepada kepercayaan rakyat terhadap institusi.

“Pendidikan adalah hak setiap anak dan kegagalan menyediakan infrastruktur asas selepas 15 tahun adalah kegagalan kolektif yang perlu diperbetulkan segera,” katanya.-Info X