Search

Wanita GRS kecam insiden buli, desak tindakan segera

August 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, mengecam sekeras-kerasnya insiden buli yang tular di media sosial.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan nilai masyarakat majmuk di Malaysia.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Institut Pembangunan Sabah (IDS), di sini kelmarin, Azizah menegaskan budaya buli mesti dihentikan segera dan pelaku perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

“Buli bukan saja menyebabkan kecederaan fizikal, malah memberi kesan trauma psikologi yang mendalam kepada mangsa. Masyarakat perlu bersatu menolak budaya ini,” katanya.

Beliau mendesak pihak berkuasa, institusi pendidikan dan komuniti untuk mengambil tindakan pantas terhadap pelaku dengan hukuman setimpal yang dapat memberi mesej jelas bahawa buli tidak akan diterima di mana-mana peringkat.

Azizah turut menekankan keperluan menyediakan perlindungan menyeluruh kepada mangsa, termasuk kaunseling, bimbingan emosi dan sokongan psikologi bagi memastikan mereka dapat pulih sepenuhnya.

Jelasnya, usaha membanteras buli memerlukan pendekatan holistik melalui kempen kesedaran yang berterusan.

“Kerjasama daripada sekolah, NGO, ibu bapa dan pihak media amat penting untuk mengubah persepsi serta tingkah laku masyarakat terhadap isu ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk memperjuangkan undang-undang dan polisi yang lebih tegas dalam melindungi golongan rentan, khususnya generasi muda serta memastikan keselamatan dan keharmonian komuniti sentiasa terpelihara. – Info X