KOTA KINABALU: Seorang ibu tidak mampu menahan sebak apabila menangis sambil memeluk erat anak perempuannya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Lintasan Deasoka, di sini, malam ini.
Saimah Alkan, 37, yang secara sukarela tampil berucap hanya sempat bercakap beberapa saat sebelum menitiskan air mata, sekali gus mengundang suasana hiba dalam kalangan orang ramai yang hadir.
Dia yang berasal dari Tuaran, mengakui hatinya tersentuh dengan tragedi menimpa pelajar tingkatan satu itu, apatah lagi sebagai seorang ibu yang turut mempunyai anak perempuan seusia dengan arwah.
Dalam ucapannya, dia merayu kerajaan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh demi memastikan keadilan untuk adik Zara ditegakkan tanpa sebarang campur tangan.

Suasana semakin beremosi apabila orang ramai yang hadir sama-sama menjerit ‘Justice For Zara’ berulang kali, bergema di kawasan tumpuan pelancong itu.
Walaupun hujan renyai sejak petang, jumlah kehadiran semakin bertambah dengan kehadiran orang ramai bukan sahaja dari sekitar Kota Kinabalu, malah dari Sarawak, Brunei dan Semenanjung.
Peserta himpunan turut membawa plakad, poster dan sepanduk bertulis mesej solidariti termasuk “Justice For Zara” sebagai tanda kebersamaan menuntut kebenaran.
Kawasan sekitar Lintasan Deasoka turut dikawal anggota polis bagi memastikan keadaan terkawal, namun suasana kekal tenang dengan himpunan berlangsung secara aman.
Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar.
Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan supaya mayat pelajar itu digali semula dan bedah siasat dilakukan pada Ahad lalu.
Mayat Zara Qairina dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang Isnin lalu. – Info X