TAWAU: Hanya kerana isterinya lambat membuka pintu bilik, seorang lelaki warga asing sanggup menumbuk wanita berusia 50-an itu dalam kejadian di sebuah bilik sewa di Jalan Dunlop, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.01 tengah malam itu, suspek berusia lingkungan 30-an bertindak menumbuk lengan kiri isterinya hingga mangsa mengalami kesakitan serta lebam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa yang tidak tahan diperlakukan sedemikian kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek kira-kira jam 1.50 petang di tepi jalan sekitar bandar Tawau.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan dan lebam di bahagian lengan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, polis memandang serius kes keganasan rumah tangga dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan kekerasan terhadap pasangan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menyelesaikan pertikaian secara berhemah dan bukan dengan kekerasan.
“Mereka yang mempunyai maklumat berhubung keganasan rumah tangga diminta menyalurkannya segera kepada polis,” katanya. – Info X