Search

PGA gagalkan cubaan seludup petrol ke negara jiran

August 17, 2025

Info X Reporters

KUNAK: Cubaan dua lelaki dipercayai cuba menyeludup petrol bersubsidi ke negara jiran gagal apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak dalam Op Taring ESSZone di perairan selatan Pulau Mataking, semalam.

Dalam operasi diketuai Pos Platun Tak Mataking itu, sebuah bot kayu mencurigakan dikesan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.

Komander Briged Sabah PGA, Datuk Abdul Rani Alias berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki berusia lingkungan 30-an gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri selain membawa 14 gelen berisi petrol yang dipercayai untuk diseludup keluar negara.

“Turut dirampas, sebuah bot kayu sepanjang 30 kaki, dua enjin sangkut Yamaha 40HP, dua batang klip enjin bot serta 14 gelen petrol dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM22,817.50.

“Semua tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Rani berkata, kejayaan itu membuktikan usaha pihaknya dalam mengekang cubaan penyeludupan minyak bersubsidi sekali gus memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.

“PGA Kunak akan terus mempertingkatkan operasi bagi membanteras jenayah rentas sempadan di kawasan tanggungjawab,” katanya. – Info X