KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner dijadual mendengar sebutan inkues kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, esok.
Memaklumkan perkara itu, peguam mewakili keluarga Zara Qairina, Hamid Ismail, berkata sebutan dijadual pada jam 9 pagi.
“Sebutan untuk inkues ditetapkan esok di Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 9 pagi esok,” katanya melalui mesej Whatsapp kepada media.
Peguam mewakili keluarga Zara sebelum ini meminta agar inkues diadakan bagi menentukan punca kematian arwah.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara memutuskan agar inkues dijalankan bagi menentukan punca dan sebab kematian Allahyarham Zara Qairina.
Menerusi kenyataan jabatan itu pada Rabu lalu, ia menjelaskan inkues berkenaan termasuk untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian pelajar berkenaan.
Kenyataan itu menyebut, keputusan bagi mengadakan inkues dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes itu pada 12 Ogos lalu.
“Setelah jabatan ini meneliti laporan siasatan yang telah dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia berhubung kes kematian Zara Qairina pada 12 Ogos 2025, jabatan ini memutuskan agar inkues dijalankan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah ([Akta 593).
“Prosiding inkues ini bertujuan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, proses inkues akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang. – Info X