SEPANGGAR: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau mengecam kenyataan Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud yang menuduh GRS sebagai liabiliti.
Ketuanya, Abqaree Fawwaz Abekan, berkata kenyataan Ahli Parlimen Sepanggar itu hanya memperlihatkan kelemahan beliau sendiri sebagai wakil rakyat yang gagal menyelesaikan masalah asas pengundi di kawasan Sepanggar.
Beliau mendakwa, rakyat Sepanggar masih berdepan rungutan sama setiap hari, iaitu air paip tidak stabil, jalan raya berlubang dan sesak serta elektrik sering terputus.
“Inilah realiti yang dihadapi masyarakat tempatan, namun sehingga kini masih tiada penyelesaian konkrit daripada wakil rakyat kawasan ini.
“Datuk Mustapha sepatutnya bekerja keras turun padang menyelesaikan masalah rakyat di Sepanggar.
“Malangnya, beliau lebih sibuk mencari salah orang lain. Jangan jadi pemimpin yang hanya tahu bercakap di media, tetapi gagal membawa perubahan di kawasan sendiri. Ukur baju di badan sendiri dahulu,” katanya.
Beliau berkata, liabiliti sebenar bukanlah GRS tetapi Mustapha sendiri yang gagal menunjukkan prestasi sebagai Ahli Parlimen Sepanggar.
“Sejak dipilih, beliau lebih banyak berpolitik di media nasional daripada benar-benar turun padang mendengar masalah rakyat.
“GRS terus konsisten membawa kestabilan politik dan membela rakyat Sabah, manakala Mustapha pula masih gagal membuktikan prestasi di kawasan yang beliau wakili,” katanya. – Info X