Search

Lelaki cabul anak saudara sejak usia 10 tahun

August 19, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Tindakan keji seorang lelaki yang mencabul anak saudaranya sejak mangsa berusia 10 tahun akhirnya terbongkar apabila dia ditahan polis, semalam.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sebuah kampung di sini, jam 10.40 malam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang mendakwa dicabul bapa saudaranya sendiri.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mereka tinggal di kawasan perumahan sebuah ladang di sini.

“Berdasarkan maklumat, polis berjaya menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Lahad Datu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau menegaskan pihaknya memandang serius jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja, serta menggesa masyarakat segera menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah seumpama itu. – Info X