Search

Kes Zara: Pendakwaan terhadap lima remaja diteruskan

August 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneruskan pendakwaan terhadap lima remaja perempuan yang dikaitkan dengan buli dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Remaja berusia bawah 18 tahun itu dijadual dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, di sini, esok.

Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar seperti dilaporkan Berita Harian pada Selasa.

Menerusi laporan sama, Mohd Dusuki juga mengesahkan pendakwaan diteruskan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025).

Terdahulu, peguam keluarga arwah Zara Qairina memohon pendakwaan terhadap lima remaja terbabit dalam kes buli itu ditangguh sementara.

Peguam Hamid Ismail dalam kenyataannya sebelum ini mahu pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Ia berikutan pertuduhan dicadangkan iaitu Seksyen 507C (1) terlalu ringan, tidak sepadan dengan tragedi yang berlaku dan mengelak ‘double jeopardy’ daripada diguna pakai pada masa depan. – Info X