Search

Kes Zara: ‘Liputan’ individu luar ganggu petugas media – SJA

August 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) memandang serius gangguan yang dialami petugas media sepanjang membuat liputan inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Presidennya, Mariah Doksil, berkata kehadiran individu tidak dikenali yang bukan wartawan atau bukan pengamal media berdaftar yang turut membuat ‘liputan’ itu amat dikesali.

Katanya, beliau turut menerima aduan daripada dua wartawan wanita yang menjadi mangsa ‘sentuhan’ individu terbabit berikutan kedudukan badan yang terlalu rapat.

Mariah Doksil.

“SJA mengambil perhatian serius laporan berkaitan gangguan semasa sidang media inkues kes Zara di mahkamah baru-baru ini.

“Terdapat individu yang tidak dikenali dan bukan dari kalangan wartawan agensi media yang berdaftar turut berada bersama petugas media yang berkumpul untuk membuat liputan sidang media.

“Dua wartawan wanita mengadu kedudukan badan individu terbabit terlalu rapat sehingga menyentuh mereka. Justeru, pihak SJA mahu aspek penguatkuasaan yang lebih ketat untuk melindungi wartawan yang bertugas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, terdapat individu bukan petugas media sebenar mengganggu ketika liputan kes itu dengan memasuki zon media dan membuat penstriman langsung yang sepatutnya untuk orang ramai, tapi dijadikan sebagai cara untuk memperoleh keuntungan wang.

Tindakan sedemikian katanya, menjejaskan kerja hakiki wartawan dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang awam.

Selain itu, katanya berlaku penyebaran maklumat yang salah seperti kesilapan dalam melaporkan prosiding undang-undang oleh sumber yang tidak disahkan.

“Akses kepada sidang media sepatutnya mengutamakan media berdaftar untuk memastikan laporan yang tepat,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu memperketatkan kawalan akses di kawasan larangan seperti mahkamah dan melarang rakaman jika tidak dibenarkan untuk mengelak agar akses kepada media berdaftar tidak terjejas.

“SJA menggesa semua pihak menghormati piawaian kewartawanan dan tuntutan undang-undang.

“Setiap laporan yang bertanggungjawab bukan disensasikan, tetapi yang terbaik untuk kepentingan dan keadilan awam,” katanya. – Info X