TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh belakang sebuah kereta di Jalan Kota Kinabalu-Tuaran berhampiran stesen minyak, Kampung Rugading, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5.55 pagi itu, mangsa, Mohd Azli Abdul Kadir, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan patah tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat sebelum dirempuh motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa dari arah belakang.
“Akibat rempuhan, motosikal terbabas ke lorong kanan lalu melanggar penghadang konkrit sebelum terseret sejauh kira-kira 47 meter.
“Penunggang dan pembonceng tercampak di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pembonceng lelaki berusia 26 tahun yang tidak memakai topi keledar cedera parah di kepala, lengan dan lutut sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.
“Pemandu kereta tidak cedera manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk bedah siasat.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X