Search

Dua remaja perempuan hampir lemas mandi laut

August 23, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Dua kanak-kanak perempuan berusia 12 dan 16 tahun berada dalam keadaan kritikal selepas hampir lemas ketika mandi di Pantai Rindu, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.26 tengah hari itu, tindakan pantas ahli keluarga berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa daripada tenggelam sebelum diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, tujuh anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi sejauh 25 kilometer dan tiba pada jam 1.04 petang.

“Sebaik tiba, terdapat dua mangsa dalam keadaan kritikal selepas hampir lemas ketika mandi di kawasan pantai.

“Kedua-dua mangsa yang berjaya diselamatkan ahli keluarga terus diberi bantuan CPR sebelum dibawa ke hospital menggunakan kenderaan persendirian,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kini masih kritikal dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.

“Pasukan bomba turut melakukan pemantauan di lokasi serta memberi taklimat keselamatan kepada pemilik lokasi bagi mengelakkan insiden sama berulang,” katanya.

Orang ramai turut diingatkan agar sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti riadah di kawasan pantai, khususnya membabitkan kanak-kanak. – Info X