Search

Tiga remaja tertimbus tebing sungai runtuh

August 23, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Tiga remaja lelaki berdepan detik cemas apabila tertimbus tanah ketika leka bermain di tebing sungai Kampung Baginda, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.16 tengah hari itu, semua mangsa berusia 12 hingga 13 tahun dilaporkan menggali tanah di tebing sungai sebelum berlaku runtuhan.

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Raizaain Ag Damit berkata, orang awam bertindak pantas mengeluarkan ketiga-tiga mangsa sebelum pasukan bomba tiba.

“Seorang mangsa berusia 13 tahun cedera dan dihantar ke hospital, manakala dua lagi termasuk seorang berusia 12 tahun tidak cedera dan pulang ke rumah masing-masing.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.10 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadkan di tebung sungai Kampung Baginda, Keningau.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti di tebing sungai, cerun curam atau kawasan tanah tidak stabil yang berisiko runtuh, terutama selepas hujan.

“Kanak-kanak juga dinasihatkan supaya tidak menggali tanah atau bermain di kawasan berisiko kerana ia boleh mendatangkan bahaya tertimbus tanpa amaran.

“Ibu bapa dan penjaga pula perlu sentiasa memantau aktiviti anak-anak serta memberi nasihat awal mengenai bahaya tersembunyi di kawasan sungai atau berbukit,” katanya. – Info X