KOTA KINABAU: Sabah FC terpaksa berkongsi satu mata dengan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Keputusan itu menyaksikan tuan rumah gagal menepati sasaran bermain di gelanggang sendiri, lebih-lebih lagi ia adalah perlawanan pertama Sang Badak di Likas bagi musim ini.
Sabah awal-awal lagi menghadapi kesukaran berdepan Kelantan apabila gerakan pemainnya dapat dihalang berikutan kecekapan pasukan lawan menutup ruang.
Beberapa cubaan Sang Badak juga menjadi sia-sia selepas terperangkap dalam situasi ofsaid ketika pemain sudah bersedia untuk melakukan cubaan ke arah gawang lawan.
Pada masa yang sama, Kelantan turut mendapat peluang melancarkan dua atau tiga serangan, namun mereka juga berdepan halangan pertahanan tuan rumah yang tidak membiarkan sebarang cubaan membolosi gawang.
Selepas rehat 15 minit, permainan separuh masa kedua menyaksikan sedikit perubahan aksi tuan rumah yang nampak lebih agresif dalam usahal mencipta jaringan.
Peluang agak baik bagi Sabah bermula dari awal perlawanan babak kedua menerusi beberapa situasi sepakan percuma dan sepakan sudut, namun belum berjaya mencipta jaringan.
Permainan agak mendebarkan pada minit ke-63, apabila Darren Lok dilihat berpeluang melakukan cubaan menepati sasaran ketika hanya berdepan penjaga gol Kelantan, Damyanov Damyan, namun agak malang, Damyanov lebih tangkas menghalang Darren.
Dua minit kemudian, pemain Sang Badak sekali lagi berpeluang agak baik melakukan cubaan melalui Muhammad Jafri, namun gerakan itu juga dipatahkan dengan tangkas penjaga gol Kelantan.
Akhirnya peluang keemasan tiba menerusi gerakan pantas Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-84 melalui hantaran lintang di hadapan gawang Kelantan yang kemudian dilorongkan ke arah gawang oleh Azhad Harraz Arman, namun beliau ketika itu disahkan dalam kedudukan ofsaid.
Gol tunggal perlawanan itu nampaknya tidak memberi apa-apa makna kepada skuad Sang Badak sekali gus memaksa tuan rumah terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Kelantan apabila terikat tanpa sebarang jaringan pada akhir permainan. – Info X