Search

DJ warga asing ditahan tiada dokumen

August 24, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang deejay (DJ) warga asing ditahan polis selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dalam serbuan Op Mega Noda di sebuah pusat hiburan, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan dijalankan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang menyasarkan premis hiburan sekitar daerah itu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, turut ditahan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, premis itu dikesan beroperasi tanpa lesen hiburan awam.

“Polis menahan seorang penjaga premis warga tempatan serta seorang deejay warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan ke atas pengunjung pusat hiburan di Penampang.

Menurutnya, beberapa peralatan muzik termasuk sebuah komputer riba dan mikrofon turut dirampas untuk siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa hukuman denda, penjara atau sebatan,” katanya.

Beliau menegaskan, pihak polis akan mempertingkatkan pemantauan serta operasi berterusan bagi memastikan pusat hiburan mematuhi undang-undang dan tidak menjadi punca jenayah serta gejala sosial. – Info X