NABAWAN: Parti Warisan kekal dengan pendirian untuk bergerak solo dan tidak bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan termasuk Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengulangi pendirian itu berikutan kenyataan pemimpin PN mengenai kemungkinan kerjasama PN-Warisan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Katanya, pihak lain boleh bercakap mengenai soal kerjasama, namun Warisan sudah memutuskan untuk bertanding semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya itu nanti.
“Mereka boleh cakaplah, tapi saya sudah umumkan kita tanding 73 kerusi. Jadi, macam mana pula bergabung kalau kita Warisan bertanding 73 kerusi kan?
“Itu yang kita nyatakan bahawa Warisan akan bertanding 73 kerusi, bertanding solo lah. Memang dari dulu kita konsisten,” katanya ditemui pada Program Inspirasi DSSA Bersama Rakyat Nabawan, di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata PN tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Warisan pada PRN17.
Katanya, kerjasama itu perlu kerana senario politik di Sabah sekarang tidak memungkinkan sesebuah parti bertanding secara solo.
Sementara itu, Shafie berkata PRN17 adalah pilihan raya yang penting di Sabah untuk menentukan masa depan rakyat dan negeri.
“Apabila sudah bubar dewan, kita akan jelaskan secara terperinci di kawasan-kawasan di mana kita nak buat rancangan untuk membolehkan supaya kita boleh bantu rakyat.
“Kerana kita yakin kerajaan Warisan jauh lebih baik daripada kerajaan GRS pada hari ini dan kita mampu untuk melaksanakan apa yang telah kita rancang sebaik mungkin untuk membela rakyat.
“Bukan hanya untuk memastikan kita dapat mengatasi masalah air bersih, bekalan elektrik dan juga termasuk bukan hanya sekolah, bukan hanya kesihatan.
“Saya yakin bahawa ada keupayaan kita untuk mengurus tadbir kepada rakyat di negeri Sabah,” katanya.
Pada majlis itu, katanya Warisan menerima kira-kira 1,000 ahli baharu dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti lain. – Info X