Search

PELAJAR UMS ANJUR PROGRAM KOMUNITI, PUPUK SEMANGAT TANGGUNGJAWAB SOSIAL

May 17, 2022

admin

KOTA KINABALU: Seramai 36 pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS)
menyertai Program Akademik dan Khidmat Komuniti yang berlangsung di Kampung Pulau Mabul,  Semporna, baru-baru ini.

Bertemakan “Masih Ada yang Sayang”,
Program selama dua hari itu turut disertai tiga pensyarah pengiring.

Pengarah Program, Nur Afikah Ahmad berkata, program berkenaan dianjurkan Kelab Pengurusan Kewangan dan Perbankan dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa PMPEP UMS.

“Penganjuran program antaranya bertujuan  memberikan pendedahan kepada pelajar UMS dalam aktiviti kemasyarakatan selain membiasakan diri dengan tanggungjawab sosial bersama komuniti setempat.

“Program ini juga melibatkan kerjasama komuniti kampung beserta para pelajar Madrasah Islamiah Pulau Mabul,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu,  Ketua Kampung Pulau Mabul, Mohd Yosuff Jalal berkata, aktiviti kemasyarakatan seumpama itu dilihat  dapat memberikan kesedaran mengenai pentingnya menjaga kelestarian pulau khususnya Pulau Mabul sebagai sebuah pusat pelancongan yang terkenal di  Sabah.

“Kita di sini amat mengalu-alukan aktiviti  yang dianjurkan pihak universiti kerana ia secara tidak langsung mampu memupuk semangat penduduk setempat di pulau ini agar sentiasa berusaha untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya. – Info X