TENOM: DAP Tenom mahu Ahli Dewan Negara yang juga bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Senator Noorita Sual dicalonkan mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Menerusi satu kenyataan sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Melalap oleh PKR, baru-baru ini, DAP Tenom menyifatkan Noorita sebagai calon yang sesuai berdasarkan pencapaiannya sebagai Ahli Parlimen Tenom sebelum ini.
Kenyataan itu menyebut, Noorita bukan nama asing dalam arena politik tempatan di Tenom selepas mencipta sejarah memenangi kerusi Parlimen Tenom ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Jelas kenyataan itu lagi, walaupun Noorita gagal mempertahankan kerusi yang disandangnya ketika PRU15 pada November 2022, prestasi undi menunjukkan beliau mendahului di kawasan DUN Kemabong.
“Sebagai seorang wanita dan satu-satunya pemimpin masyarakat orang asal dari Tenom yang kini menyandang jawatan Senator, Noorita membuktikan kepimpinan beliau bukan saja di peringkat legislatif, malah di lapangan.
“Sepanjang perkhidmatan, beliau sentiasa turun padang menghadiri pelbagai acara serta bersama rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Lebih membanggakan, YB Noorita adalah anak jati Kemabong daripada suku kaum Murut Tahol, iaitu kumpulan pengundi terbesar di kawasan ini. Latar belakang beliau yang beragama Kristian turut mencerminkan demografi majoriti bukan Islam di DUN Kemabong,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Ahli Parlimen Tenom, Noorita membawa pelbagai projek pembangunan bernilai ratusan juta ringgit, antaranya naik taraf Jalan Kemabong-Rundum sepanjang 28.5 kilometer bersama lima jambatan bernilai RM201 juta dan Jalan Mukim Ulu Tomani-Bakuku sepanjang 35.6 kilometer bernilai RM189 juta.

Sementara itu, dalam satu lagi kenyataan, Setiausaha DAP Cawangan Pekan Kemabong yang juga Setiausaha Wanita DAP Sabah, Yiska Lassan, berkata cadangan mencalonkan Noorita turut disokong 14 AJK Tertinggi PKR Tenom yang menandatangani surat sokongan bertarikh 18 Jun 2025, diketuai Timbalan Ketua Cabang PKR Tenom, Danil Kalingang.
Selain itu, katanya lapan Ketua Cawangan DAP di Tenom turut menyatakan sokongan ketika pertemuan rasmi bersama pemimpin PKR Tenom dengan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe di Ibu Pejabat DAP Sabah di Kota Kinabalu pada 20 Jun lalu.
Yiska berkata sokongan rasmi AJK Tertinggi PKR Tenom dan Ketua-Ketua Cawangan DAP itu bukan saja mencerminkan kekuatan PH, malah memberi keyakinan bahawa rakyat di pedalaman Kemabong mahukan perubahan yang sebenar,” katanya.
Ketika ini kerusi DUN Kemabong disandang Datuk Rubin Balang yang memenangi kerusi itu atas tiket Bebas pada PRN16, September 2020 sebelum menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – Info X